28 JULAI 2020 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Zoo Negara di Hulu Kelang, Selangor.
Seri Paduka Baginda yang berangkat tiba di Zoo Negara pada jam 9.40 pagi, meluangkan masa lebih dua jam bagi menyaksikan pertunjukan haiwan serta melihat persekitaran kawasan pameran Zoo Negara.
Ketibaan Al-Sultan Abdullah disambut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Presiden Zoo Negara, Datuk Sr Zaharin Md Arif.
Al-Sultan Abdullah memulakan lawatan dengan menyaksikan pertunjukan haiwan di Show Amphitheatre diikuti majlis penyampaian sumbangan replika cek daripada beberapa syarikat tempatan kepada Zoo Negara.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan melawat beberapa kawasan pameran dan memberi makanan kepada haiwan seperti burung upeh (stork) dan zirafah.
Menaiki tram mengunjungi kawasan pameran, Seri Paduka Baginda turut berkenan melihat haiwan lain seperti rusa, singa, Harimau Malaya dan Orang Utan.
Sebelum mengakhiri lawatan, Seri Paduka Baginda ke Pusat Konservasi Giant Panda dan memberi makan kepada dua ekor beruang panda gergasi yang dipinjamkan oleh kerajaan China pada 2014 menerusi Program Perjanjian Bersama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Seri Paduka Baginda menyeru rakyat Malaysia meluangkan masa melawat pusat-pusat pelancongan dan rekreasi tempatan dengan mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan di tempat-tempat tersebut.
Негізгі бет Agong melawat Zoo Negara
Пікірлер: 30