Berikut kronologi kes itu setakat hari ini :
6 Ogos
Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam GISB.
6 Sept
Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISB yang memerlukan siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.
11 Sept
Polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISB di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
12 Sept
Proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan diteruskan di Pulapol Kuala Lumpur.
Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISB.
13 Sept
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISB diterima sejak 2011 hingga September tahun ini.
Seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya di bawah umur tiada keperluan disiasat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal akidah, salah guna kuasa dan agama serta penderaan kanak-kanak perkara serius yang perlu ditangani segera.
14 Sept
Sidang media ketiga Ketua Polis Negara yang menyatakan serbuan terhadap 20 rumah amal melalui Op Global itu adalah hasil risikan dan siasatan polis selama enam bulan.
Siasatan terhadap syarikat itu bagaimanapun telah dijalankan sejak 2011 dan polis telah bertemu dengan wakil PUKAS enam bulan lepas.
15 Sept
Polis mengesahkan 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.
Seramai 384 kanak-kanak dan remaja selesai menjalani saringan kesihatan dan hasil saringan itu mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan.
17 Sept
Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 96 akaun milik GISB dibekukan, serta empat akaun ditutup melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.
Keseluruhan 392 mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global
18 Sept
Seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISB, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas.
19 Sept
19 individu termasuk pengurusan tertingggi, isteri serta beberapa pemimpin GISB direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. Mereka mengaku tidak bersalah.
20 Sept
Tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang. Mereka termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISB.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
21 Sept
Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.
Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISB diserbu dan polis merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
Di Melaka, sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam termasuk gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISB.
Di Kelantan, tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISB di Kampung Panji diserbu dan pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan GISB ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ikuti DATO' DR. DANIAL ZAINAL ABIDIN di Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan Telegram untuk mendapatkan info kuliah yang terkini.
Untuk menyumbang bagi membantu kos pengoperasian boleh dilakukan melalui akaun bank
CIMB - 7021 2844 65 / MAYBANK - 1070 3214 5524
di atas nama Mohamad Ridzuan
e-melkan bukti pembayaran: realridzblog.media@gmail.com / WA +60124372108.
Негізгі бет Ajaran Sesat Fahaman Kumpulan Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB)? | Dato' Dr. Danial Zainal Abidin
Пікірлер: 1