SESI BEDAH BUKU 'PROPAGANDA VISUAL PADA ERA PENAKLUKAN JEPUN: MANIFESTASI SIMBOLIK, RETORIK & SATIRA RADIKAL', anjuran KUBU (Kuliah Buku-Siri ke 4/2019) pada 28 Ogos 2019 (Rabu).
ORDE 'ROMANTIK' DARI TIMUR
(Penaklukan Dai Nippon ke atas Malaya, 1942-1945)
Pendaratan ketumbukan tentera Jepun di Malaya pada tanggal 8 Disember 1941 di pesisir Pantai Sabak, Kota Bharu, Kelantan merakamkan sebuah lagi episod penjajahan Malaya daripada kekuasaan asing. Kuasa tersebut pada kali ini datangnya dari timur, yakni dari Benua Asia sendiri yang membawa slogan pembebasan berbaur 'romantik' ‘Asia untuk Asia’, ‘Hakko Ichiu’ dan doktrin ‘Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya’.
Penyerahan British kepada kuasa Jepun pada 15 Februari 1942 di Singapura, menandakan satu bentuk pemerintahan baru dan asing kepada penduduk Malaya. Kita banyak didedahkan dengan cara pemerintahan fasis, keras dan penuh tiran oleh pentadbiran tentera Jepun, sepanjang 3 tahun 8 bulan pendudukannya di Malaya.
Namun, disebalik soal itu, terdapat juga sokongan serta dokongan yang diberi oleh penduduk Malaya, yang beranggapan kedatangan Jepun sebagai ‘rahmat pembebasan’ daripada kuasa kolonial, yang telah berkuasa sejak sekian lamanya. Misalnya, dokongan yang diberikan oleh siasah politik kiri, Kesatuan Melayu Muda (KMM), melalui penganjurnya yang progresif, Iberahim bin Hj. Yaacob, yang mengalukan-alukan pendudukan Jepun ke atas Malaya.
Usaha-usaha dan polisi pihak Jepun disebarkan dengan meluas melalui program serta aktiviti propaganda, yang antara lain turut melibatkan manifestasi visual disamping media-media seperti siaran radio, kesusasteraan, berita-berita bertulis dan juga pementasan sandiwara di panggung-panggung terbuka.
Pihak Jepun, seperti diketahui turut mengenakan kawalan ketat kepada kebebasan bersuara. Jabatan Propaganda (Senden-Bu), umumnya bertanggungjawab kepada sebaran maklumat dan propaganda untuk meraih sokongan penduduk Malaya kepada mereka. Propaganda visual yang bersiaran di media massa dan di tempat umum biasanya akan mendapat kelulusan serta disaring rapi oleh Senden-Bu, yang beribu pejabat di Syonan-To (Singapura).
Pada umumnya propaganda yang membawa isu kontroversial dan popular lebih mudah diterima oleh masyarakat . Berdasarkan kepada pengertian ini, sistem propaganda dalam konteks pentadbiran Jepun di Malaya, merangkumi sistem organisasi, pesanan dan cara penyampaian maklumat yang bertujuan untuk mempengaruhi rakyat Malaya menyokong usaha serta cita-cita mereka. Salah satu pendekatannya adalah melalui penggunaan visual, sebagai alat penyebaran dakyah dan ikhtiar-ikhtiar indoktrinasi.
Di dalam sistem Pentadbiran Tentera Jepun di Malaya, propaganda merupakan antara bahagian yang penting dan signifikan. Bagi mencapai matlamatnya untuk menguasai hati dan fikiran rakyat, pihak Jepun berpegang kepada dua prinsip utama, yakni bagaimana menarik hati rakyat (Minshin Ha’aku) dan bagaimana mengindoktrinasi dan menjinakkan mereka (Senbu Kosaku). Prinsip ini perlu dilaksanakan untuk memobilisasi massa rakyat, agar mendukung kepentingan perang (Kempen Dai Toa Senso) dan untuk mengubah sistem berfikir mereka secara keseluruhan.
Bersandarkan keyakinan bahawa Malaya perlu dibawa kepada pola tingkah laku dan cara pandang Jepun, propaganda dijalankan untuk mengindoktrinasi rakyat, agar mereka menyokong doktrin ‘Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya’, ‘Lapan Bucu di bawah Satu Bumbung’ (Hakko Ichiu) serta pelbagai kempen ‘Orde Baru’.
*sedikit kutipan, yang diikhtisarkan di fasal pengenalan daripada buku tulisan saya PROPAGANDA VISUAL PADA ERA PENAKLUKAN JEPUN (1942-1945); MANIFESTASI SIMBOLIK, RETORIK & SATIRA RADIKAL (ITBM/2018).
Негізгі бет BEDAH BUKU 'PROPAGANDA VISUAL PADA ERA PENAKLUKAN JEPUN'
Пікірлер