MAGNUM OPUS TAFSIR AL-AZHAR
(Haji Abdul Malik Karim Amrullah-HAMKA)
"Kupasan dan tafsiran skripsi kitab suci Al-Quran yang menyemangati gelintar nusantara, sebagai pengibrahan inspiratif".
Alhamdulillah, dipanjat-panjatkan rasa syukur jua ke hadrat Allah swt, Tuhan yang menyimpan segala tahu, kerana pada pagi ini tepat jam 7.15 (Ahad, 26 Julai 2021 bersamaan 15 Dzulhijjah 1442H) usai sudah bacaan saya pada korpus tafsir karangan buya Hamka, yang tercetak sebanyak 9 jilid.
Tafsir Al-Azhar saya perolehi di Toko buku Pustaka Mukmin, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada petang 2 Februari 2015. Bermula daripada detik ini, saya peruntukan kurang lebih setengah jam sehari (ada waktu-waktunya, tak sempat juga saya penuhi) untuk menelaah inti-inti tafsir yang kebiasaannya dibaca pada remang-remang pagi. Alhasil, setelah 6 tahun 5 bulan berselang, selesai juga ladenan saya buat mengambil ibrah daripada penulisan tafsir buya yang sangat-sangat menginspirasi, justeru dapat jua memperteguh percaya.
Tafsir ini sedikit unik berbanding olahan dan kupasan kemajmukan mutiara tafsir dari Timur Tengah, kerana Hamka selalu-selalunya mempercontohkan 'selaut' peristiwa yang beliau nisbahkan daripada segenap naratif di nusantara, sebagai pedoman pengibrahan yang memesonakan bacaan. Percontohan kisah seputar kejadian di alam nusantara, membuatkan kita lebih mengintimi bacaan, kerana ia terasa begitu mendekat dengan suasana serta iktibar-iktibar yang telah dan bakal kita lalui.
Saya kongsikan suatu peristiwa daripada ribuan kupasan tafsir yang dikarangi Hamka dalam tafsir ini, yang secara tidak langsung ada 'kena-mengena' dengan konsentrasi penyelidikan saya tentang pendudukan Jepun di rantau Asia.
Hamka menyorot suatu kejadian di Bukit Tinggi, Sumatera sebagai intipati pengajaran dan tauladan tentang sia-sianya amalan syirik. Ada sebuah kolam yang telah dikultus dan disakralkan oleh penduduk di Bukit Tinggi. Masyarakat menggangapkannya sebagai kolam nan keramat, yang mereka percaya dijagai oleh bangsa jin dan 'syeikh-syeikh' tertentu. Sesiapa tidak dibenarkan untuk menangkap waima seekor ikan pun di dalam kolam ini, kerana dikhuatiri akan ditimpa celaka dan musibah terhadap barang siapa yang mengingkarinya.
Disinilah tertulisnya rincian menarik apa yang buya Hamka huraikan. Seketika meledaknya pecah Perang Dunia Kedua dan ketumbukan tentera Jepun (Dai Nippon) berjaya memasuki Sumatera pada Mac 1942, terjadinya agresi bersenjata yang begitu menggelora di beberapa kota, demi untuk melemahkan cengkaman takluk Belanda di Indonesia.
Banyak kawasan yang telah dibom oleh pihak tentera, termasuklah 'kolam sakral' yang dikeramatkan warga. Maka habislah punah dan ranap segala isi kolam. Pada akhirnya, ternyata tiada sebarang kecelakaan dan musibah yang menimpa bala tentera Jepun, malah mereka terus tegak melegitimasikan kuasa di Sumatera. Dengan itu, segala dongengan tahyul kesyirikan hilang lenyap, bersama lenyapnya kolam yang kononnya suci serta berpenunggu itu. Suka sekali saya mencermati tafsiran ini.
Memuarakan pengetahuannya yang luas dalam pelbagai bidang, seumpama di dalam ilmu kalam, tauhid, akidah, bahasa Arab, sejarah, filsafat dan kesusasteraan, pada pandangan saya dapat menjadikan tafsir ini seolah-olah lengkap dengan segala 'bumbu-bumbu' pengetahuan, di pelbagai ranah disiplin.
Rujukan-rujukan daripada hukama di dalam keberagaman mazhab turut beliau rujuki, sebagai perbandingan yang berupaya menjentik akal dan sanubari. Daripada tafsir Ibn Kathir, membawa kepada tafsir Ar-Razi dan tafsir Jalalain, langsung-langsung ditilik jua tafsir Al Kasyaf daripada tulisan Zamakshari yang berfahaman Muktazilah, juga daripada imam Al Qurtubi sehinggalah penumpuan yang menyeluruh, kepada tafsir Juz Amma dan Fil Zilalil Quran karangan Syeikh Muhammad Abduh dan Syed Qutb.
Hamka semacam tidak kekok mempersembahkan gergasi-gergasi besar filsafat Barat seperti Socrates, Plato, Aristotle, Descartes, Voltaire, Rousseau, Kant, Goethe dan selanjutnya buat diisi dalam gagasan tafsir. Malahan Karl Marx, Friedrich Nietzsche serta Sigmund Freud turut tidak terlepas daripada daftar pembicaraan untuk sama-sama bergelut, bergelumang, bergandingan dan menjadi percontohan beliau. Pendiri dan pemuka agama ardhi (ciptaan manusia) seperti Gottama Buddha, Guru Nanak, Nattaputa Mahavira serta Confusius ada juga disebut-sebut sebagai bandingan, buat perenungan akal budi dan jiwani.
Hamka menyudahkan penulisan tafsir monumental ini sewaktu dibungkamkan dibalik jeriji besi, penjara Sukabumi (1964-1966) di Jawa Barat, oleh rejim Soekarno di atas pertuduhan 'palsu' yang mendakwa beliau bersekongkol dalam perencanaan membunuh sang presiden.
Негізгі бет HAMKA & TAFSIR AL-AZHAR
Пікірлер: 2