"Setiap hari saya beli dan makan nasi ambeng di sini. Rasanya yang asli memang menepati citarasa saya yang membesar dengan hidangan ini."
Menurut Pak cik Abdul Aziz, 77 atau lebih dikenali dengan nama Wak Ajis di kalangan penduduk kampung, nasi ambeng di Restoran R&S Catering Aliff Najwa merupakan menu hariannya. Setiap hari dia akan membungkus nasi ambeng untuk di bawa pulang dan dimakan bersama isterinya.
Mendengarkan komen daripada Wak Ajis, saya tertanya-tanya benarkah nasi ambeng di sini benar-benar enak? Sementelah para pelanggan yang datang ke restoran ini bersungguh-sungguh memberikan komen kepada kami bahawa nasi ambeng di sini sedap!
Ambeng yang bermakna ´bulat´ atau ´dulang´ diambil sempena cara makanan ini dihidangkan, iaitu di dalam dulang dan dimakan secara beramai-ramai. Nasi ambeng ialah nasi yang dihidangkan bersama lauk-lauk seperti sayur tumisan iaitu masakan Jawa yang mencampurkan suhun, kentang, tempe dan hati. Lauk lain iaitu sayur goreng campuran kacang panjang, lobak dan kacang soya (tolo), serunding dan ayam. Di restoran ini pelanggan boleh memilih masakan ayam yang dimasak merah, kicap, rendang atau pun ayam goreng berempah.
Restoran R&S Catering Aliff Najwa bermula dengan menyediakan perkhidmatan katering untuk kenduri dan jamuan makan sejak 7 tahun yang lalu. Hanya sekitar tahun lalu pemiliknya yang merupakan pasangan suami isteri, Ruhaizan Kamarudin dan Suzaidah Rajan, membuka restoran ini secara tetap.
Resipi asli nasi ambeng ini diwarisi oleh isterinya daripada ibunya yang merupakan ketua tukang masak untuk majlis kenduri kahwin di Ijok. Suzaidah memasak sendiri nasi ambeng untuk mengekalkan keaslian rasa dan kualiti nasi ambeng di restoran ini. Dengan pembukaan restoran ini, Ruhaizan berhasrat untuk memperkenalkan masakan asli Jawa ini kepada umum.
Menurut Ruhaizan, sekitar jam 11 pagi, pelanggan sudah mula datang mengerumuni restoran ini untuk membeli nasi ambeng. Selalunya mereka akan membungkus nasi ambeng untuk dibawa pulang ke rumah dan dinikmati bersama keluarga. Namun ramai juga yang turut makan di restoran bersama teman-teman. Waktu makan tengahari, restoran ini memang sentiasa dibanjiri oleh pelanggan.
Kebiasaannya, dalam masa 2 jam, nasi ambeng di kedainya akan habis terjual. Dibuka setiap hari Isnin hingga Sabtu dari jam 11 pagi hingga 2 petang untuk menu nasi ambeng dan lauk-lauk nasi campur seperti gulai pucuk ubi, gulai tempoyak, ikan sambal dan lain-lain. Ia kemudiannya dibuka semula dari jam 6 petang hingga 12 malam untuk menu ala-carte.
Saya dan dua orang rakan berpeluang untuk menikmati nasi ambeng di dalam dulang. Satu hidangan di dalam dulang kecil dihidangkan kepada kami. Seorang rakan yang tidak pernah merasai nasi ambeng ini pada mulanya seperti teragak-agak untuk menjamah. Namun akhirnya dia juga mengakui bahawa nasi ambeng ini memang unik dan sedap.
Ada yang mengatakan bahawa keenakan nasi ambeng ini adalah disebabkan rasa serundingnya. Saya juga mengakui serunding memberi rasa yang istimewa kepada nasi ambeng. Serunding di restoran ini dimasak selama dua hingga lima jam untuk mendapatkan serunding yang kering dan enak.
Anda mungkin tidak percaya dengan duit kurang daripada RM10, anda boleh menjamu selera bersama dengan dua orang kawan anda. Sebungkus nasi ambeng yang boleh dinikmati oleh tiga orang di Restoran R&S Catering Aliff Najwa hanya berharga RM6!
Pelanggan yang datang ke restoran ini bukan hanya dari kalangan penduduk Kampung Ijok, malah dari sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri lain juga. Ada yang pernah datang dari Johor semata-mata untuk mendapatkan nasi ambeng di restoran ini.
Read more: www.eats.my//rv...
Негізгі бет Nasi Ambeng Asli Ijok
Пікірлер: 56